Tazkirah Ringkas: PERSAHABATAN
PERSAHABATAN adalah satu nikmat, kerana ia adalah tanda keimanan
sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang mukmin itu
bersaudara."
Kita memang diajar berhati-hati memilih teman kerana silap pilih,
kadangkala buruk akibatnya.
Persahabatan yang baik akan membawa kita ke syurga dan kalau
tersilap, padah membawa ke neraka.
Ada yang bertanya, kalau kita berkawan dengan yang baik saja
manakala yang bermasalah dibiarkan saja, siapa pula yang akan mendidik dan
menegurnya.
Sebenarnya sudah lama kita melakukan kesilapan dalam melayani
seseorang. Remaja yang bermasalah sepatutnya didekati bukannya dipulau atau
diboikot.
Cuma mendekati mereka ini memerlukan kekuatan prinsip yang utuh
supaya kita yang mendekatinya terutama sesama remaja, agar kita tidak larut dan
hanyut terlena serta tertipu kerana tidak kuat prinsip.
Pertemuan kali ini bukannya untuk memberi tip, bagaimana mendekati
mereka yang bermasalah tetapi ingin bercerita keprihatinan ulama bergaul dengan
niat mengubah mereka yang bermasalah.
Pada suatu hari Ibnu al-Mubarak berjumpa dengan seorang yang jahat
pekerti dan rendah budinya dalam satu perjalanan.
Dia terus bergaul dengannya dan berjalan bersamanya walaupun
terpaksa menanggung kesabaran atas pekertinya yang kurang menyenangkan itu.
Detik berpisah akhirnya tiba. Ibnu al-Mubarak menjadi sebak dan
menangis. Apabila ditanya kenapa dia menangis, dia menerangkan:
"Aku menangis kerana masih sayang kepadanya. Aku terpaksa
berpisah dengannya dalam keadaan dia belum dapat berpisah dengan kelakuannya
yang buruk itu."
Apa yang kita boleh pelajari dari kisah terbabit ialah:
•Berkawanlah dengan sesiapa saja asalkan bertujuan untuk memperbaiki
hubungan silaturahim serta mendekatkan diri kepada Allah.
•Bersabar dalam pergaulan adalah suatu kebajikan. Berusaha
memperbaiki akhlak kawan satu kebajikan yang lain.
•Mencari kawan mudah tetapi mencari kawan yang sekata amat sukar.
•Perbaiki hubungan sesama manusia (hablum-minan-nas) di samping
perbaiki hubungan dengan Allah (hablum-mina-Allah)
•Dua sahabat yang menangis lantaran berpisah kerana Allah akan
dinaungi Arasy pada hari yang tiada naungan kecuali naungannya.
•Jangan mamandang keji terhadap seseorang kerana akhlaknya tetapi
bersimpatilah di samping cuba untuk mengubah kelakuannya.
Berusaha dalam dakwah adalah tanggungjawab kita tetapi pemberian
taufiq dan hidayah adalah di tangan Allah.
Berkawan dengan orang yang jahat akhlak adalah sebagai satu cara
untuk menguji diri sejauh mana kesabaran dan kesediaan kita untuk memaafkannya.
No comments:
Post a Comment